Peluang di PJ City gamit Kogileswaran

Oleh Penulis Jemputan 31 Disember 2019 181
Peluang di PJ City gamit Kogileswaran
Penyerang muda kebangsaan, R. Kogileswaran, tidak menganggap tarafnya jatuh berikutan keputusannya berhijrah daripada Pahang ke Petaling Jaya (PJ) City FC apabila menegaskan semua pasukan Liga Super adalah sama standard.

Menabur bakti selama empat musim bersama skuad Tok Gajah sejak 2016, Kogileswaran membuat keputusan mengejut apabila berhijrah ke skuad bimbingan K Devan itu untuk saingan Liga Malaysia 2020.

Langkah itu sememangnya mencuri tumpuan berikutan bekas produk Frenz United tersebut hadir daripada sebuah pasukan gergasi bola sepak tanah air, tambahan pula masih mempunyai baki kontrak setahun bersama pasukan Pantai Timur berkenaan. 

Menegaskan ia didorong atas faktor minit permainan selepas kurang beraksi bersama Pahang sebelum ini, dia bagaimanapun menolak tanggapan bahawa PJ City adalah pasukan kerdil.

"Pahang sememangnya sebuah gergasi di Malaysia tetapi saya lihat semua pasukan dalam Liga Super adalah setaraf.

"Kami adalah 'underdog' dan kami mampu bersaing dengan mana-mana pasukan di Malaysia," katanya dalam sesi latihan hari ini.  

"Saya ingin buktikan kemampuan yang dimiliki. Pahang (lebih cenderung) menggunakan penyerang seperti Dickson Nwakaeme manakala di sini, taktikalnya berbeza. 

"Saya tahu akan mendapat minit permainan yang lebih banyak dan saya akan berjuang habis-habisan. 

"Kalau boleh saya mahu terpilih dalam panggilan skuad kebangsaan."


Editor: Shaiful Shamsudin 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen