Setiausaha Agung Felda United, Zulkarnain Muhammad, menerima permintaan Irfan Bakti untuk bercuti lebih awal, namun beliau menegaskan belum ada sebarang keputusan rasmi mengenai peletakan jawatan jurulatih berpengalaman itu.

Irfan mengumumkan untuk keluar daripada Felda United selepas perlawanan Liga Super menentang Sarawak di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 24 September lalu.

Ia susulan pengendali kelahiran Perak itu sedar mengenai kegagalannya untuk memenuhi Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh The Fighters, iaitu meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Ketika pengumuman dibuat, Irfan juga meminta pengecualian untuk aksi terakhir liga bertemu Kedah di Alor Setar, 22 Oktober ini dan perkara itu dipersetujui Zulkarnain.

"Irfan meminta cuti dan kami telah pun bersetuju untuk memberikan cuti kepadanya. Mengenai peletakan jawatannya, kami akan berbincang semula nanti," katanya.

Sementara itu, Zulkarnain mengesahkan pihaknya masih menunggu ketetapan tarikh untuk mengadakan perbincangan berhubung keputusan Irfan untuk berundur.

"Irfan ke luar negara dan kami tidak mengetahui bila dia akan pulang ke Malaysia. Dia ke luar negara untuk percutian yang singkat iaitu tiga hari.

"Jika Rabu minggu depan dia pulang, kami bercadang untuk mengadakan perbincangan pada hari tersebut. Saya masih lagi menunggu tarikh yang sesuai."