Dua pasukan daripada Liga Super dilaporkan gagal mematuhi tarikh akhir pertama penyerahan dokumen bagi melengkapkan pelesenan kelab semalam.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan dua tarikh akhir untuk kesemua pasukan melengkapkan proses pelesenan kelab tahun ini.

Tarikh akhir pertama berakhir 31 Ogos 2020 (semalam) membabitkan penyerahan dokumentasi pengurusan manakala 15 September depan pula merupakan tarikh akhir bagi penyerahan dokumentasi kewangan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, bagaimanapun mengesahkan kegagalan itu hanya melibatkan dokumentasi pihak ketiga dan pihaknya sudah menerima makluman daripada dua pasukan yang terlibat itu.

"Daripada 12 pasukan Liga Super, dua pasukan tidak memenuhi dokumentasi yang diperlukan," katanya kepada Nadi Arena.

"Tetapi penjelasan yang kami terima daripada kedua-dua pasukan tersebut adalah dokumentasi yang kurang itu merupakan dokumentasi daripada pihak ketiga.

"Selaku sekretariat FAM, kami memahami situasi itu tetapi bukan kami yang akan membuat keputusan akhir kerana ia akan dipanjangkan kepada pihak FIB (First Instance Body), di mana jawatankuasa bebas ini akan melakukan keputusan akhir.

"Daripada sistem yang kami ada, kelewatan penyerahan dokumen itu akan mendatangkan kesukaran kepada pasukan berkenaan tetapi perkara itu akan dibincangkan oleh FIB sendiri," katanya.