PDRM intai peluang kekal bersaing dalam Liga Super

Oleh Bernama 8 Julai 2020 21
PDRM intai peluang kekal bersaing dalam Liga Super
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan kemenangan dalam empat daripada baki tujuh perlawanan Liga Super, bagi menghidupkan peluang kekal dalam saingan liga itu musim depan.

Ketua jurulatih PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad, berkata, walaupun skuad ‘The Cops’ berada di ambang penyingkiran, beliau yakin pemainnya akan bangkit meraih kemenangan sebaik sahaja saingan Liga Malaysia yang dijangka bersambung September depan.

“Walaupun kita bakal berdepan beberapa pasukan gergasi seperti Kedah dan Selangor selepas ini, saya percaya pemain akan bangkit semula meraih kemenangan, lebih-lebih lagi kita bermain empat perlawanan di laman sendiri.

“Tiada apa yang mustahil untuk dicapai, sekiranya pemain percaya kepada diri sendiri untuk memburu kemenangan di tempat sendiri,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Ishak memaklumkan 31 pemain dan pegawai, pasukan PDRM selesai menjalani ujian calitan COVID-19, kecuali empat pemain yang dijangka melakukan ujian berkenaan minggu ini.

Bekas pemain pertahanan Terengganu era 90-an itu berkata, PDRM akan memulakan latihan di Padang Pulapol pada Khamis ini, sekiranya keputusan ujian adalah negatif.

“Kita sudah menyiapkan semua dokumen yang akan dihantar kepada Liga Bola Sepak Malaysia, namun kita masih menunggu keputusan ujian swab COVID-19 daripada pegawai perubatan,” jelas Mohamad Ishak.

PDRM sebelum ini dipotong tiga mata, selepas pasukan berkenaan dilapor gagal melangsaikan tunggakan gaji dan mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan gaji, bersama pemain atau pegawai.

Skuad ‘The Cops’ menduduki tangga terakhir daripada 12 pasukan dalam carta Liga Super, dengan defisit dua mata selepas empat perlawanan.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen