PDRM 0 KEDAH 2

Kedah tambah parut pada luka PDRM apabila merekodkan kemenangan 2-0 di Stadium KLFA, sebentar tadi.


Aksi minggu kelima di Stadium KLFA Cheras pula menyaksikan PDRM melayan kunjungan pasukan utara tanah air, Kedah.

Menghuni dasar liga, PDRM turun tanpa kemenangan dalam empat aksi pertama, selain berurusan dengan potongan tiga mata susulan tunggakan gaji.

Dan ia ternyata memberikan kelebihan buat pelawat yang kerap melancar percubaan sejak sepak mula, dua kali menggegar palang selain turut dinafikan kecemerlangan Wilfred Jabon di gawang PDRM.

Bagaimanapun, jaringan akhirnya terhasil buat skuad kendalian Aidil Sharin Ishak pada minit ke-29 menerusi penalti yang disempurnakan Kipre Tchetche.

Kipre terus jadi duri dalam daging, menambah satu lagi gol enam minit berselang, kali ini berpunca gerakan dicetus Kpah Sherman.

Meskipun tuan rumah PDRM berusaha menampilkan sedikit kebangkitan pada permulaan babak kedua, Kedah yang diketuai kapten berpengalaman, Baddrol Bakhtiar, terus ampuh hingga akhir permainan, sekali gus memastikan tiga mata penuh.

Sementara di Kuala Terengganu, Terengganu mencipta kemenangan mutlak ke atas pendatang baru Liga Super, Sabah.

Sehari sebelum aksi di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Terengganu, mengetahui kelebihan yang bakal dimiliki jika menang pertemuan dengan Sabah.

Selepas Lee Tuck beberapa kali memberi amaran, gawang Sabah akhirnya bocor, Dominique da Silva dapat membaca gerakan Syafik Ismail untuk membuka jaringan pada minit ke-12.

Terengganu terus mendapat banyak peluang untuk menambah jaringan, termasuk lorongan Sanjar Shaakhmedov buat Da Silva yang digagalkan Wan Azraie Wan Teh tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Sabah berusaha memperbaiki corak permainan bertahan selepas dibolosi dua gol dalam separuh masa pertama namun usaha mereka bukan penghalang Terengganu apabila pada minit ke-71, Shaahkmedov berjaya menyempurnakan hatrik dalam perlawanan ini sekaligus mendahuhului 3-0.

Sebelum tamat permainan, Terengganu terus menghukum Sabah dengan gol keempat menerusi Faris Ramli sekaligus menang bergaya 4-0.

Keputusan lain:

Liga Super

SELANGOR 0 PJ CITY 0

TERENGGANU 4 SABAH 0

Liga Perdana

JDT II 3 KELANTAN UNITED 2

KELANTAN 0 PULAU PINANG 3

PERAK II 2 SARAWAK 2