SABAH 3 MELAKA 2

Sabah keluar dari zon penyingkiran dengan menamatkan kemarau kemenangan sejak Mac lalu apabila menjadikan Melaka United sebagai mangsa kedua Liga Super musim ini.


Biarpun dua kali mendahului tuan rumah dalam pertemuan di Stadium Likas, sebentar tadi, semangat kental menjadi sandaran utama barisan kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu untuk keluar dengan kejayaan 3-2.

Kemenangan itu melonjakkan pasukan Tambadau berkenaan ke tangga kesembilan dengan memintas kedudukan Petaling Jaya (PJ) City dan Felda United sementara PDRM yang sudah tersingkir ke Liga Perdana kekal di tangga tercorot.

Ketangkasan kedua-dua penjaga gol dituntut di atas padang licin akibat hujan sebaik wisel pertama ditiupkan apabila saling mengasak yang menyaksikan lorongan Safiq Rahim menemui Uche Agba untuk menewaskan pemain terakhir di depan gawang Sabah, Rozaimi Rohim, untuk gol pembukaan pada minit ke-15.

Namun, Melaka kembali memimpin pada masa kecederaan separuh masa pertama -- juga melalui penyudah hampir sama tetapi kali ini diledakkan Sony Norde -- untuk memadam jaringan penyamaan Sabah yang disumbangkan perancang import dari Jerman, Dennis Buschening.

Buschening sekali memain peranan untuk mengikat 2-2 kedudukan selepas sejam permainan disusuli gol kemenangan daripada sepakan penalti Rodoljub Paunovic pada minit ke-72.

Dalam perlawanan tunggal Liga Perdana di Kota Bharu pula, Kelantan United gagal menggunakan kelebihan untuk menjarakkan diri di zon bahaya selepas tunduk kepada seteru jiran, Terengganu II, 2-3 sebentar tadi.