Penyerang import Kedah, Pablo Pallares, tidak tertekan walaupun menerima kritikan peminat susulan aksi hambarnya, termasuk ketika perlawanan menentang PKNP FC di Stadium Batu Kawan, semalam.

Pallares diletakkan harapan tinggi oleh penyokong Hijau Kuning untuk menjadi senjata pemusnah skuad Kedah pada musim ini.

Dia dilihat lulus ujian pertama menerusi jaringan ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Piala Sumbangsih 2018, namun kelibat penyerang berusia 31 tahun dari Sepanyol itu tenggelam ketika bertemu Perak dan PKNP.

Dia gagal menemui sentuhan penyudah yang tepat walaupun dihidangkan dengan deretan peluang untuk menghasilkan jaringan.

"Saya tidak berasa tertekan kerana ini perkara biasa dalam bola sepak. Semua orang dan penyokong pasti mengharapkan aksi terbaik daripada saya.

"Setiap perlawanan saya cuba untuk memperbaiki sentuhan," kata Pallares.

Bagi jurulatih Kedah, Ramon Marcote, dia tetap mempertahankan persembahan Pallares dan berharap
agar peminat memberikan ruang dan peluang buat pemainnya itu untuk membuktikan kemampuan
sebenar selepas ini.

"Anda tidak boleh mengharapkan Pallares melakukan setiap gerakan dan menggelecek semua pemain lawan seorang diri. Dia adalah penyerang, perlu mendapatkan lorongan bola dan dia akan cuba menjaringkan gol," ujar Marcote.