Selepas mengharungi pusingan pertama saingan Liga Super dengan prestasi di luar jangkaan, Pahang sudah bersedia memikirkan untuk mencabar kejuaraan daripada Johor Darul
Ta’zim (JDT).


Pahang dan JDT yang mendahului carta liga ketika ini hanya dibezakan dengan enam mata selepas mengharungi 13 perlawanan.

Ini penanda aras baik buat Pahang memandangkan permulaan musim ini disifatkan sebagai pembentukan semula Tok Gajah sebagai kuasa besar bola sepak Malaysia.

Jurang kualiti di antara dua pasukan ini juga tidak lagi jauh berbeza berdasarkan keputusan dalam Liga Super dan Piala FA.

"Kami masih memiliki sembilan perlawanan, saya bersama Pahang akan memberikan yang terbaik untuk terus bersaing dalam Liga Super," kata Dollah.

Sebelum mencongak perhitungan dengan JDT dalam saingan liga pada 11 Julai, Pahang terlebih dahulu perlu mengatasi cabaran Felda United.

Selepas memberi laluan kepada bulan Ramadan, Dollah mahu memulakan kempen dengan tiga mata.

"Dalam setiap perlawanan, kami mahu mendapatkan tiga mata penuh. Jika Pahang kehilangan mata, ia akan memberi kesukaran untuk bersaing dengan JDT."