Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) kini hanya menunggu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menetapkan tarikh pertemuan di antara kedua-dua pihak.

Pemangku Presiden, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad, menyerahkan segala-galanya kepada Menteri Besar tentang bagaimana untuk mengatasi kemelut kepimpinan yang melanda persatuan itu ketika ini.

"PAFA sudah menghantar surat kepada Menteri Besar dan menunggu maklum balas daripada beliau.

"Jawatankuasa Eksekutif PAFA akur dengan apa saja hasil perbincangan serta arahan Menteri Besar nanti," katanya mengulas dakwaan bahawa PAFA membuat pusingan "U" apabila tidak mahu menunggu Hasnul Zulkarnain Abd Munaim membuat keputusan sama ada mahu kembali atau tidak ke pangkuan persatuan itu.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif PAFA pada 13 November lalu menolak peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain sebagai presiden serta memberi tempoh 14 hari kepadanya sehingga Rabu depan untuk mengubah keputusan.

Katanya, jawatankuasa itu tidak mahu dilihat sebagai penghalang kehendak ahli gabungan yang mahukan Ahmad Faizal menerajui PAFA.

Yadzan berkata Hasnul Zulkarnain tidak menunjukkan tanda-tanda akan mengubah keputusannya setakat ini.

Pada masa sama, wujud gerakan dalam kalangan ahli gabungan untuk melobi Ahmad Faizal yang lebih dikenali sebagai Peja sebagai presiden PAFA.

Kumpulan itu juga mahukan Setiausaha Kerajaaan Negeri (SUK), Zainal Azman Abu, sebagai timbalan presiden PAFA.