Isu kelewatan pembayaran gaji bulan November buat skuad The Bos Gaurus berakhir dengan pembayarannya dibuat hari ini.

Pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, mengesahkan tentang pembayaran gaji itu.

Katanya kelewatan itu berlaku gara-gara masalah teknikal dan tidak perlu disalahertikan.

"Ia tidak disengajakan.

"Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) tidak berniat untuk menyusahkan pemain dan kami juga tidak menghadapi masalah kewangan," katanya.

Adly berkata perubahan tampuk kepimpinan PAFA berikutan peletakan jawatan bekas presiden, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, adalah faktor utama kelewatan pembayaran gaji bulan November itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, kemudian dipilih sebagai presiden baru dalam kongres luar biasa PAFA.

Setiausaha Kerajaaan Negeri (SUK), Zainal Azman Abu Seman, pula dipilih sebagai timbalan presiden.

Sebelum ini, pemain meluahkan keresahan berikutan kelewatan pembayaran gaji yang berlaku kerana menghadapi kesukaran melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga.

Dalam perkembangan lain, berita tentang perpindahan dua pemain PKNP FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dan Muhammad Hafiz Ramdan, ke pasukan Perak untuk musim depan masih belum pasti.

Menurut Adly, Shahrel masih belum menyatakan pendirian manakala Hafiz yang masih mengalami kecederaan mungkin menyertai Perak dalam jendela perpindahan kedua nanti.

"Biarlah dia menjalani pemulihan dahulu dan apabila sembuh, dia boleh menyertai Perak," katanya.