PAFA sambung kontrak pemain utama 

Oleh Bernama 1 Disember 2019 13993
PAFA sambung kontrak pemain utama 
Beberapa pemain utama pasukan Perak telah menandatangani kontrak baru dengan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) bagi musim depan.

Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata mereka termasuk ketua pasukan, Shahrul Saad, serta pemain tengah, J. Partiban.

"Ramai dalam kalangan pemain tempatan kami (Perak) yang telah tamat kontrak menandatangani semula kontrak, pasukan masih ada lagi pemain import.

"Saya amat yakin kami tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada pemain import, saya percaya ini akan memperkuatkan pasukan untuk jangka masa panjang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Berkhatan Beramai-ramai Kampung Sri Klebang anjuran PPBM Chepor Dalam di Ipoh, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata selaku presiden, beliau berasakan perlu untuk menyediakan bajet mencukupi bagi pembangunan pemain berbanding membayar pemain import yang mencecah ratusan ribu ringgit sebulan.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata dua pemain import The Bos Gaurus masih kekal bermain musim depan, namun tidak menyatakan nama mereka.

Pada musim lalu, lima pemain import beraksi bersama Perak, iaitu Ronaldo Henrique Da Silva, Hussein El Dor, Rai Anderson Da Costa Morais dan Leandro Dos Santos. 

"Secara peribadi, saya berasakan pemain yang ada sudah mencukupi tetapi mungkin jurulatih rasa perlu tambah kekuatan sesetengah posisi, maka saya akan ikut," katanya.

Sebelum ini, beberapa pemain yang sah akan meninggalkan pasukan berkenaan adalah Brendan Gan, Norhakim Hassan dan Mohd Nasir Basharuddin.

-- BERNAMA
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen