Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) bersetuju dengan kehendak ahli gabungan yang mahukan Menteri Besar (MB) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sebagai presiden persatuan itu.

Sehubungan itu, PAFA akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi membolehkan pelantikan Ahmad Faizal, Khamis depan.

Pemangku Presiden PAFA, Datuk Mohammad Yadzan Mohamad, memberitahu perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas di pejabat persatuan itu, sebentar tadi.

"Kami akur dengan kehendak ahli gabungan supaya MB menerajui PAFA," katanya.

Menurut Yadzan, ahli gabungan juga menginginkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Zainal Azman Abu Seman, sebagai timbalan presiden.

Pelantikan MB Perak itu susulan peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim sebagai Presiden.

Zainal Azman pula akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Adly Shah Ahmad Tah.

“EGM ini adalah prosedur biasa bagi membuat pelantikan baru kedua-dua jawatan itu.

"Tiada agenda lain kecuali pemilihan kedua-dua jawatan itu sahaja pada hari tersebut," katanya.

Beliau yakin pelantikan MB dan SUK Perak itu bertepatan dan bersesuaian dengan matlamat memastikan bola sepak terus maju dan berkembang di negeri itu.