Penyerang import, Dickson Nwakaeme, memberi bayangan bakal bersara jika tiada pasukan bagi musim Liga Malaysia 2021.

Sebelum ini, Nwakaeme telah mengesahkan meninggalkan pasukan Pahang selepas mereka tewas kepada Kedah dalam aksi Piala Malaysia.

Menjelang musim 2021, dia kini sedang menunggu tawaran untuk menyertai pasukan Liga Malaysia dan jika tiada tawaran yang datang kepadanya, persaraan daripada arena bola sepak merupakan perkara yang telah difikirkan pemain kelahiran Nigeria itu.

"Ya, saya akan bersara. Saya tidak akan membazirkan masa, tidak akan memberikan tekanan kepada diri sendiri," kata Nwakaeme.

"Buat masa ini, saya memiliki beberapa tahun yang baik untuk bermain tetapi jika tiada tawaran, saya sedia menabur pengalaman kepada barisan pemain muda selepas ini."

Nwakaeme turut memberikan pujian serta melihat pemain muda Pahang, Nik Muhammad Sharif Haseefy bin Mohd Lazim, yang telah berhijrah ke Selangor memiliki peluang cerah untuk seiring dengan barisan pemain terbaik Malaysia pada masa akan datang.

"Sharif mempamerkan aksi menakjubkan, dia seorang pemain yang berbakat, bukan sahaja bersama Pahang tetapi di seluruh Malaysia. Jika dia dapat menterjemahkan apa yang dipamerkan dalam sesi latihan, dia mampu menjadi pemain terbaik."