Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin, mempertahankan pendekatan pihaknya yang merahsiakan jumlah sebenar penajaan walaupun tindakan itu mencetuskan tanggapan buruk dalam kalangan warga bola sepak tanah air.

Badan pentadbir liga tempatan itu mengambil pendekatan berbeza berbanding sebelum ini apabila enggan mendedahkan nilai tajaan sebenar Liga Malaysia (Liga-M) bagi musim 2020.

Tindakan itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat selepas MFL memberi alasan mahu
menghormati perjanjian dengan penaja utama.

Bagaimanapun, sesetengah pihak berasakan ia perlu telus dan terbuka daripada hanya memaklumkannya kepada rakan kongsi.

"Kalau kami dedahkan nilainya sekalipun, sudah tentu sesetengah pihak akan tetap memberikan reaksi positif dan negatif.

"Tetapi MFL perlu jaga ikatan dengan pihak penaja dan nilai bukan isu besar.

"Yang penting, MFL perlu mendapatkan penajaan agar kami serta rakan kongsi dapat bergerak terus ke depan," kata Hamidin.

Selepas Telekom Malaysi (TM), Kumpulan CIMB pula bekerjasama dengan MFL sebagai penaja utama bagi saingan Liga Super dan Piala Sumbangsih.

Buat julung kalinya menjadi penaja kepada kancah liga tempatan, syarikat perbankan itu mendedahkan
pelaburan yang dibuat lebih tinggi daripada mana-mana penajaan yang pernah dilakukan mereka.

"Kami tidak boleh mendedahkan nilainyanya tetapi bagi CIMB, jumlah penajaan bukan soalnya.

"Ini mungkin penajaan terbesar kami dalam sukan setakat ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Sementara itu, rakan kongsi MFL enggan melatah dengan tindakan badan pentabdir Liga M itu merahsiakan nilai tajaan, sebaliknya menganggap kehadiran penaja sebagai rahmat.

"Berapa jumlah yang kami bakal terima bukanlah masalah, yang penting MFL kongsikan nilai yang ada," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa.

Tambah Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon: "MFL menjamin akan bersikap telus mengenai soal penajaan dan selaku rakan kongsi, kami sangat gembira.”

MFL sebelum ini mengumumkan jumlah agihan buat pasukan musim ini bergantung kepada pendapatan atau tajaan yang mereka peroleh.

"Kami akan maklumkan kepada rakan kongsi tentang jumlah yang kami dapat.

"Kami juga sedang mendapatkan penaja-penaja yang lain," kata CEO MFL, Datuk Ghani Hassan.



Editor: Shaiful Shamsudin