Daripada seorang pembantu dan kini menjadi ketua jurulatih, Mohd Nidzam Jamil kini sah ditawarkan untuk memimpin skuad Felda United musim depan dan cabaran menanti adalah cuba mengikut legasi sedia ada dengan kewangan yang terhad.

Nidzam ditawarkan kontrak membimbing Felda bagi musim 2019 selepas pengendali sebelum ini, B. Sathianathan, membuat keputusan untuk tidak lagi bersama pasukan itu.

Cabaran Nidzam kini adalah untuk merangka sebuah pasukan yang mantap memandangkan Felda akan kembali ke Liga Super musim depan.

Berbekalkan faktor kewangan yang terhad seperti dimaklumkan oleh pihak pengurusan, Nidzam terpaksa melupakan khidmat beberapa tonggak kerana kontrak mereka tidak dilanjutkan.

Antara yang sah tidak disambung kontrak adalah tonggak import, Thiago Augusto, Gilberto Fortunato, Thiago Junior dan Iain Ramsay.

"Kami tidak akan berbelanja lebih daripada sepatutnya dan saya rasa bola sepak harus begitu kerana kekangan kewangan. Namun, saya rasa ia tidak sampai ke tahap terdesak untuk kami kurang daripada segi segalanya.

"Mungkin penjimatan melibatkan usaha mendapatkan pemain yang sepatutnya," katanya.

Ironinya, Nidzam tidak menolak apabila terdapat desas-desus yang mengaitkan Felda kini sedang berusaha memancing pemain dari Singapura, Baihakki Khaizan, dan bekas pemain import Kedah, Sandro Da Silva.

Bagaimanapun, dia menyerahkan semua keputusan itu kepada pihak pengurusan dalam mencari import yang bersesuaian dengan kantung pasukan.

"Baihakki memiliki sifat ketua dalam diri serta pengalaman dan ketokohan sebagai pemain. Saya rasa pencapaiannya menjelaskan semua perkara walaupun sedikit berusia, iaitu 34 tahun. Secara peribadi, saya memang sukakannya sebagai seorang pemain," tambah Nidzam.