'Bukan salah Faiz Mazlan', jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, mempertahankan pemain pertahanannya itu apabila kesilapan kecil memaksa pasukannya berputih mata untuk melakar kemenangan ke atas Pahang.

Jika tidak kerana insiden pada minit ke-76, bola terkena tangan Faiz dalam kawasan penalti, Felda berpeluang cerah untuk melakar kemenangan pertama mereka sejak liga kembali bersambung 28 Ogos lalu.

Skuad kendalian Nidzam Jamil sebelum itu sudah pun memimpin perlawanan pada separuh masa pertama dengan keputusan 2-1, hasil jaringan Nikola Raspopovic dan Akhmal Haiqal Azhar.

Nidzam ternyata dalam dilema, kerana keputusan seri itu masih belum memadai untuk bawa pasukannya keluar daripada zon penyingkiran.

"Saya tidak percaya dengan keajaiban tetapi saya percaya kepada usaha keras. Keajaiban hanya akan hadir apabila anda berusaha," kata Nidzam.

Bagi anak buah Dollah Salleh pula, sasaran mereka sudah berubah -- dari menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik kepada layak ke Piala Malaysia.

Dollah enggan tidak terlalu memikirkan kedudukan dalam liga dan sudah mengalih fokus kepada saingan Piala Malaysia biarpun Liga Super masih berbaki tiga perlawanan.

Namun antara aspek positif dilontarkan jurulatih berpengalaman itu, taruhan muka baru yang mampu menggalas cabaran di sebalik ketiadaan beberapa tonggak import yang dibelenggu kecederaan.

"Saya sekarang hanya memikirkan pasukan layak ke Piala Malaysia. Saya berharap pemain import dapat kembali bersama pasukan jika mahu terus bersaing musim ini," kata Dollah.