"Umpama melepasi 'road block' polis", itu reaksi jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, yang mengakui terpaksa berhadapan situasi cemas dalam 10 minit terakhir pertemuan dengan Melaka dalam aksi Liga Super sebelum mengesahkan tiga mata pertama, semalam.



The Fighters terpaksa bekerja keras mengekalkan kelebihan jaringan sehingga tamat 90 minit bermakna.

Kelegaan di wajah Nidzam tidak dapat disembunyikan lagi-lagi pasukannya tidak dianggap sebagai pasukan pilihan ketika Melaka membawa kredibiliti sempurna dalam dua perlawanan terdahulu.

Menyifatkan 10 minit terakhir sebagai situasi mendebarkan, Nidzam lega semuanya berakhir dengan kelebihan buat pasukan namun menegaskan banyak perkara perlu diperbaiki menjelang aksi berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu depan.

"Tetapi apa yang bagus ialah mereka berjaya mengharungi perlawanan dan bertahan dengan baik, sebaik sahaja menyedari mereka tidak boleh kehilangan mata.

"Bukan mudah untuk kita kerana Melaka merupakan pasukan berkualiti dan mereka juga dapat mengejar sehingga keputusan berakhir 3-2. Bagaimanapun, kemenangan tipis ini cukup untuk kita memperoleh tiga mata," katanya.

Sementara itu, jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, ternyata hampa dengan keputusan perlawanan.

Zainal menyifatkan sikap sambil lewa dan ambil mudah punca Melaka berputih mata dan gagal mengekalkan rentak kemenangan di Jengka.

Baginya, kegagalan Melaka sudah dapat dirasai sebaik mereka ketinggalan awal dengan dua jaringan rentetan anak buahnya melepaskan bola dengan mudah.

"Prestasi kita ibarat yo-yo...kita beraksi dengan baik pada perlawanan sebelum ini dan saya lihat dua gol lawan pada babak pertama mengganggu kita.

"Kita cuba bangkit setelah ketinggalan tetapi banyak peluang tidak dapat disempurnakan."

IMEJ: MFL