Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusof, menafikan anak buahnya bersikap terlalu yakin, sebaliknya mengakui kesilapan sendiri menjadi faktor mereka terpaksa akur dengan satu mata ketika berdepan Negeri Sembilan, semalam.

Kedah, yang turun memburu kemenangan kedua di bawah kendalian Nidzam, garang untuk berada di depan menerusi jaringan Liridon Krasniq, sebelum Syazwan Zainon dan Sandro Da Silva memadamkan kebangkitan pelawat dengan dua lagi jaringan.

Namun, kealpaan mereka pada babak kedua dihukum skuad Jang yang meraih dua gol untuk mengikat kedudukan 3-3.

"Kami sepatutnya memulakan babak kedua dengan corak permainan dan mentaliti yang sama untuk kekal mendahului. Kami juga harus menjadikan jurang gol lebih besar," kata Nidzam.

"Apa yang saya lihat, semua pemain melakukan kesilapan, cuma kami harap ia dapat dikurangkan."

Sementara itu, pengendali Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah, bakal mendapatkan seorang pemain import dari Thailand setelah mengakui masih tidak berpuas hati dengan persembahan pemain luar yang dimiliki ketika ini.

Walaupun Nicolas Leandro Velez dan Flavio Beck Junior meledakkan jaringan dalam separuh masa kedua, namun ia belum mampu memberi kegembiraan kepada jurulatih berusia 65 tahun itu tatkala dia masih belum meraih sebarang kemenangan sejak dilantik pada Februari lalu.

Justeru, dia dilaporkan akan ke Thailand dalam masa terdekat untuk mencari seorang pemain import baru bagi memperkuatkan pasukannya sewaktu jendela kedua perpindahan dibuka pada pertengahan bulan ini.

"Saya masih belum berpuas hati jika melihat kepada kedudukan liga. Sasaran kami adalah kekal dalam Liga Super," katanya.