Ketua Jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, bersetuju dengan cadangan untuk memansuhkan penyingkiran dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini biarpun pasukan itu dikhabarkan akan dibubarkan musim depan.

Felda United menamatkan Liga Super musim ini ditangga ke-11 dengan hanya mengumpulan tujuh mata dan pasukan itu dilaporkan akan dibubarkan berikutan masalah kewangan.

Bagi jurulatih berusia 40 tahun itu, sekiranya tiada penyingkiran musim ini dan skuad The Fighters itu masih mempunya tempat dalam Liga Super, ia berkemungkinan mampu menarik minat penaja untuk menubuhkan satu pasukan baru dengan menggunakan slot berkenaan.

"Walaupun kelab ini tidak bertanding (musim depan) tetapi apabila terdapat sedikit peluang seperti 5 peratus atau 10 peratus untuk kelab ini berada dalam kelompok elit, iaitu Liga Super, siapa tahu akan ada pelabur atau pemilik baru pada masa akan datang," katanya kepada Nadi Arena.

"Walaupun ia hanya 5 peratus, saya fikir kami patut memperjuangkannya.

"Saya rasa tidak salah untuk kami memulakan kembali segala-galanya dengan berada di tempat yang betul.

"Maksud saya, walaupun ia hanya 10 peratus, kami perlu memperjuangkan tempat kami dalam Liga Super supaya kelab ini masih dapat berjalan dan lambakan pemain yang disebabkan situasi sebelum ini dapat dialihkan ke sana agar semua pemain dan jurulatih masih dapat mencari makan," katanya.

Nidzam masih mempunyai kontrak bersama Felda United dan mengulas mengenai masa depannya, dia menambah: "Saya bukan berada di pihak yang boleh menjawab persoalan itu tetapi saya suka apabila pihak pengurusan ada mengambil ikhtiar untuk berjumpa dan berbincang dengan kami mengenainya.

"Dan kami sudah diberitahu sejak pertemuan pertama bahawa akan ada perbincangan mengenai baki kontrak kami.

"Tetapi bagaimana perbincangan itu saya masih belum dapat pastikan.

"Apapun kami masih ada kontrak dan pihak pengurusan, jadi saya fikir kami perlu menamatkan segala-galanya dengan baik.

"Saya rasa kami dapat menyelesaikannya sebelum saingan Piala Malaysia," katanya lagi.