Ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, tetap mengharapkan penjadualan venue yang seimbang buat semua pasukan meskipun mengakui ketetapan itu sukar dilaksanakan memandangkan liga akan dijalankan satu pusingan sahaja.

Jumaat lalu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menetapkan September depan sebagai tempoh untuk menyambung perjalanan kalendar bola sepak negara selepas permohonan yang dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) ditolak.

Badan itu merumuskan tujuh perkara yang terkandung dalam perancangan baru kalendar Liga Malaysia 2020, merancang untuk meneruskan Liga Super dan Liga Perdana dari 1 hingga 27 September depan menerusi format separuh liga sahaja.

Situasi dilihat sebagai jalan terbaik untuk memastikan liga tempatan dapat ditamatkan dengan sempurna tetapi bagi Nidzam, ketetapan venue yang seimbang juga perlu dititik beratkan.

"Saya rasa ini perkara yang perlu dibincangkan semula kerana untuk mengadili semua tempat memang sukar. Akan ada pasukan yang beraksi lebih banyak di laman sendiri berbanding gelanggang lawan. Ia mungkin akan terjadi. Pasukan sukar untuk bertolak ansur kerana semua berjuang daripada zon penyingkiran dan sebagainya," katanya.

"Secara peribadi saya tidak bersetuju jika ada penyingkiran kerana 11 perlawanan tidak menunjukkan kekuatan sebenar liga atau pencabar. Namun, perlu ada yang diturunkan kerana pasukan daripada Liga Perdana juga mahu naik ke Liga Super."