Ngap Sayot enggan harap ihsan pasukan lain

Oleh Shaiful Shamsudin 20 Oktober 2016 4
 Ngap Sayot enggan harap ihsan pasukan lain
Keadaan semakin sukar buat pengendali Sarawak, David Usop, yang merujuk kepada kedudukan terkini Pahang yang sudah terkeluar daripada zon penyingkiran Liga Super selepas menerima tiga mata tambahan pada hari ini. 

Skuad Ngap Sayot semakin tertekan dengan perkembangan terbaru itu dengan menegaskan mereka tidak boleh melakukan kesilapan andai mahu terus berada dalam saingan Liga Super, musim depan. 

Mahu tidak mahu, Sarawak perlu memastikan kutipan mata pada Sabtu ini, selain tidak boleh bergantung harapan kepada keputusan lain yang melibatkan Terengganu, Pulau Pinang dan PDRM FA untuk perlawanan terakhir Liga Super musim ini. 

"Seperti yang kita tahu, Pahang dah terselamat. 

"Empat pasukan sedang bergelut (dalam zon penyingkiran), tapi kami tak mengharapkan pasukan lain, kami perlu kekal fokus," ujarnya. 

Bagaimanapun, berhadapan PDRM yang masih segar dengan aksi separuh akhir Piala Malaysia minggu lalu ibarat halangan besar yang perlu dilunaskan sebaik-baiknya oleh Sarawak. 

Pahang yang berada di kedudukan ketiga tercorot sebelum ini, sudah berlapang dada apabila Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari ini memberi kemenangan percuma kepada mereka untuk aksi menentang Kedah, 3 Ogos lalu. 

Menyentuh persiapan mereka untuk aksi di Stadium Negeri, Sabtu ini, Usop turut gusar dengan kelibat PDRM  yang disifatkannya mempunyai momentum perlawanan. 

"Memang kelebihan buat PDRM kerana dalam tempoh dua minggu ini, mereka telah bermain dua kali (dalam saingan Piala Malaysia) manakala kami pula berehat panjang. 

"Dengan itu, kami tidak mempunyai kompetitif permainan, jadi merekalah yang lebih beruntung," tambahnya. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen