Ketua Jurulatih Nepal, Koji Gyotoky, hari ini melancarkan perang psikologi terhadap lawannya, Laos, dalam mengharungi saingan separuh akhir Piala Solidariti AFC 2016, Sabtu ini.

“Kami ada peluang untuk menang. Pemain penat tetapi kami datang untuk menang!” katanya.

Nepal layak ke separuh akhir setelah mengungguli kumpulan A. Pasukan yang berada di ranking ke-188 dunia itu seri 0-0 dengan Timor Leste dalam perlawanan pembukaan pada 5 November lalu, sebelum membenam Brunei 3-0 pada Selasa.

Menjelas lanjut, Gyotoky mengakui bahawa Laos bukanlah pasukan yang boleh dipandang enteng.

“Saya lihat perlawanan terakhir pasukan itu semalam.

“Kami juga pernah beraksi menentang Laos dalam perlawanan persahabatan pada Mei lalu dan ia berkesudahan seri," katanya yang menyifatkan Laos memiliki taktikal yang bagus dan bijak menggunakan ruang dan kerap membuat pertukaran arah serangan kerana barisan pemain yang memiliki kemahiran tinggi.

Berhubung cuaca yang tidak menentu di Kuching, Gyotoky mengakui mereka berhadapan dengan masalah cepat letih, namun yakin Laos turut berhadapan masalah serupa.

Ketua Jurulatih Laos, Valakone Phomphakdy, berkata, "Perlawanan persahabatan pada Mei lalu banyak memberikan gambaran bagaimana kedua-dua pasukan ini bermain.

“Yang bezanya, dalam perlawanan tersebut, tidak ada tekanan dan kami banyak mengetengahkan pemain baru."

Laos yang kini berkedudukan 177 dalam ranking Fifa layak ke peringkat separuh akhir setelah menduduki tangga kedua Kumpulan B.

Pasukan itu menang 2-1 ke atas Sri Lanka dalam perlawanan pembukaan pada 3 November, sebelum dikejutkan Macau, 1-4, dalam aksi tiga hari berikutnya.

Dalam perlawanan terakhir pada 9 November lepas, Laos menghampakan Mongolia 3-0 di Stadium Sarawak.

Aksi kedua-dua pasukan ini akan berlangsung di Stadium Negeri pada jam 4.30 petang.