Negeri Sembilan sedia harungi cabaran Liga Super 

Oleh Penulis Jemputan 16 Disember 2017 1859
Negeri Sembilan sedia harungi cabaran Liga Super 
Negeri Sembilan tidak berasa cemas untuk bersaing dalam Liga Super, malah yakin dengan kualiti pemain yang memperkuatkan skuad Hoben Jang Hoben itu pada musim depan mampu melonjakkan mereka selaku antara pasukan pencabar. 

Pendatang baru Liga Super itu hanya mengetahui mereka naik secara rasmi pada 4 Disember lalu sebagai pengganti kepada Felda United dan Terengganu FC II. 

Namun, pengendalinya, Jorg Peter Steinebrunner, tidak berasakan berita itu terlalu lewat buat Negeri Sembulan dalam melakukan persiapan. 

Buat masa ini, dia mengakui berpuas hati berjaya mendapatkan beberapa pemain tempatan berpengalaman seperti Khairul Izuan Rosli dari Kelantan dan Syahid Zaidon (Felda United). 

"Kami berjaya mendapatkan pemain berpengalaman dalam Liga Super. Kami membuat persiapan awal sebaik sahaja mendapat perkhabaran akan naik ke Liga Super," ujar pengendali dari Jerman itu. 

Mengenai status pemain import, hanya Madhu Mohana dari Singapura telah sah menyertai pasukan itu bagi mengisi kuota Asean. 

Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan kehadiran tonggak lain, termasuk penyerang dari Argentina, Nicolas Velez, yang kini beraksi bersama kelab Thailand, Suphanburi.

"Saya tidak boleh menafikan bahawa kami mengharapkan dapat menandatangani pemain import. Sebaik sahaja kami berjaya memuktamadkannya, kami akan berkongsi berita mengenainya," katanya. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen