Nazrin pilih haluan berbeza

Oleh Azizan Hashim 22 November 2018 36755
Nazrin pilih haluan berbeza
Jodoh Nazrin Nawi dengan Perak tidak berkekalan apabila pemain itu memilih haluan berbeza untuk menyertai pasukan lain dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2019.

Selepas dua tahun menabur bakti kepada pasukan The Bos Gaurus, pemain berusia 30 tahun itu membuat keputusan untuk berkelana dan dijangka menyertai Melaka United (MU), musim depan.

Nazrin atau lebih mesra dengan panggilan Yin mengakui akan menyertai sebuah pasukan selatan tanah air.

"Sudah tentulah bukan Johor Darul Ta'zim (JDT) kerana saya pernah datang dari sana dua tahun lalu," katanya berseloroh.

Pemain sayap kiri yang juga boleh beraksi di posisi tengah itu mengakui kontraknya bersama Perak tidak disambung bagi musim akan datang.

"Jika Perak hendak sambung, saya sendiri tidak mahu kerana sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

"Saya bukan pilihan utama dan kurang mendapat peluang beraksi.

"Jadi, lebih baik saya berpindah dan mencari pasukan di mana saya akan mendapat kesempatan bermain agar tidak 'berkarat'," katanya.

Nazrin berkata dia sedang bercuti di Eropah dan sudah tiba di ibu kota Perancis sejak tiga hari lalu.

Mengenai perpindahannya, pemain itu berkata isterinya yang baru berpindah ke Ipoh tidak akan mengikutnya memandangkan Ipoh berada di pertengahan jalan untuk mereka pulang ke kampung di Kelantan nanti.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen