“Gembira dan teruja untuk berkhidmat buat Melaka United. Saya melihat ini sebagai satu cabaran bermain dalam Liga Malaysia dan ini merupakan peningkatan kerjaya saya sebagai pemain bola sepak," kata pemain import yang telah sah berkhidmat untuk skuad Hijau Putih, iaitu Omid David Lazarte Nazari.

Nazari, yang akan bermain di posisi pemain tengah dalam pasukan Melaka United, merupakan pemain bola sepak Filipina yang dilahirkan di Sweden manakala ibu-bapanya masing-masing berasal dari Iran dan Filipina.

Memulakan kerjaya bola sepak bersama pasukan profesional Sweden, Malmo FF, pada tahun 2011, dia kemudian berada dalam pasukan kebangsaan Iran selama dua musim.

Dalam masa yang sama, Nazari bermain untuk Angelholms FF selama empat musim sebelum mengikat kontrak selama semusim bersama Global FC, iaitu sebuah pasukan bola sepak profesional di Filipina.

Pemain berumur 25 tahun ini turut berkongsi kegembiraan kerana dapat berkhidmat untuk Global FC dan berterima kasih kepada keluarganya yang sentiasa ada di sampingnya di masa susah dan senang.