Tak sabar untuk kembali ke padang, kata bek tengah Terengganu FC (TFC), Nasrullah Haniff Johan, susulan kebenaran buat pasukan tempatan memulakan latihan bermula minggu depan.

Walaupun dengan prosesur operasi standard (SOP) yang ketat, Nasrullah berkata khabar gembira itu sekurang-kurangnya petanda aksi Liga Super boleh disambung lebih awal.

Namun, menurut pemain berusia 30 tahun itu, segala keputusan terletak di tangan pihak berkuasa dan fokusnya kini adalah untuk kembali menjalani latihan di bawah bimbingan Mohd Nafuzi Zain.

"Ketika pengumuman itu dibuat semalam, saya rasa gembira kerana dapat kembali ke padang latihan dan barisan jurulatih juga dah minta kami bersedia 15 Jun ini.

"Berkenaan SOP latihan, antaranya tiada kontak badan dan penjarakan sosial, kami sebagai pemain tiada masalah untuk patuh arahan berkenaan," katanya.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, semalam membenarkan semua pasukan memulakan latihan seawal 15 Jun ini.

'Lampu hijau' itu, begitupun, disertai SOP yang ketat, iaitu latihan dilakukan mestilah tanpa sentuhan di antara pemain dan penjarakan sosial satu hingga tiga meter.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)