Nasrullah janji baiki kesilapan

Oleh Tengku Danish Bahri   10 Mac 2020 296
Nasrullah janji baiki kesilapan
Bek tengah, Nasrullah Haniff Johan, meminta maaf kepada penyokong Terengganu FC (TFC) dan bertekad membaiki kesilapannya menjelang kunjungan Selangor, malam esok.

Mengakui gagal beraksi dengan baik ketika bertemu Kedah, Sabtu lalu, Nasrullah berkata dia berjanji akan meningkatkan prestasinya serta memastikan kubu TFC tidak dibocori.

"Saya akui corak permainan yang agak buruk tempoh hari sehingga peminat mempersoalkan kemampuan saya.

"Jika diberi kepercayaan mengemudi pertahanan, saya akan berusaha lebih baik dari sebelumnya dan membantu TFC meraih kemenangan kedua," jelasnya.

Keazaman Nasrullah itu hadir ketika jurulatih TFC, Mohd Nafuzi Zain, membayangkan tidak ada rombakan besar ke atas kesebelasan utama dalam aksi malam esok.

Selain penjaga gol, Rahadi Azli Rahalim, yang tercedera, hanya dua atau tiga pemain menurut Nafuzi akan direhatkan bagi memperkemaskan rentak permainan TFC.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi dipamerkan pasukan ini dan tiada masalah untuk kekalkan pemain sama.

"Namun saya tetap akan menilai posisi pertahanan dan tengah untuk percaturan terbaik bertemu Selangor," kata pengendali meningkat naik itu lagi.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri  

Komen