Nasir, Arif milik Terengganu

Oleh Tengku Danish Bahri 13 November 2019 8943
Nasir, Arif milik Terengganu
Bekas pemain tengah negara, Nasir Basharuddin, dan bek kiri Felda United, Arif Fadzillah Abu Bakar, sah menjadi milik Terengganu FC (TFC) untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) 2020.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, kedua-dua pemain itu menandatangani kontrak semusim bersama TFC hari ini, seterusnya mengisi slot pemain tempatan.

Arif, 23, merupakan tonggak T-Team sehingga pasukan itu dibubarkan pada 2017 sebelum bersama TFC II (2018) dan kemudian mewakili Felda United musim ini.

Nasir, 29, pula merupakan tonggak serta ketua pasukan Perak, namun tidak beraksi dalam final Piala Malaysia di antara TFC dan Perak musim lalu akibat kecederaan.

"Kedua-dua pemain ini memiliki pengalaman luas dalam kancah liga tempatan, khususnya Nasir yang pernah menyarung jersi Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Arif akan mengukuhkan bahagian pertahanan manakala kemasukan Nasir pastinya memantapkan lagi jentera tengah TFC," kata pengendalinya, Mohd Nafuzi Zain.

Sebelum ini, TFC menggugurkan 12 pemain tempatan, antaranya penjaga gol, Wan Muhd Azraei Wan Teh, bek kiri, Adib Aizuddin Ab Latif, Hasni Zaidi Jamian dan Khairul Anwar Shahruddin.

Turut dilepaskan adalah Khairu Azrin Khazali, Ahmad Syamim Yahya, Nabil Ahmad Latpi, Malik Mat Ariff, Khairul Izuan Rosli, Shahrul Aizad Zulkifli serta tonggak import, Thierry Chantha Bin dan Kipre Tchetche.

Kredit foto: TFC

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen