Nafuzi yakin TFC mampu cabar kelompok elit

Oleh Staff Writer 14 Januari 2020 1380
Nafuzi yakin TFC mampu cabar kelompok elit
Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, menganggap musim 2020 sebagai ujian sebenar buat dirinya dalam memastikan skuad Peteh itu mampu mencabar pasukan gergasi dalam saingan Liga Super musim ini.

Jurulatih itu menyerlahkan kemampuannya sebagai pengendali muda terbaik sepanjang musim lalu.

Dengan memangku tugas Irfan Bakti, yang meletakkan jawatan Mei lalu, Nafuzi membawa perubahan positif dalam permainan pasukan berkenaan.

Namun, dia berdepan cabaran hebat musim ini apabila dilantik sebagai jurulatih tetap sejak Oktober lalu.

"Saya mahu melihat pasukan saya sebagai pasukan yang berjaya bermain dengan cara kami sendiri.

"Apabila kami cemerlang, piala itu akan datang dengan sendiri.

"Saya harap kami dapat membuat yang terbaik musim ini, Insya-Allah," katanya.

TFC kini berada di Kuala Lumpur bagi menjalani perlawanan pramusim menentang juara Liga Kemboja, Svay Rieng FC, kelab Singapura, Hougang United dan Kuala Lumpur. 

Tumpuan terarah kepada beberapa muka baru pasukannya, Faris Ramli, Nasir Basharuddin dan D. Saarvindran, antaranya. 

"Setakat ini, saya amat berpuas hati.

"Faris baru tiga, empat hari menyertai kami.

"Kami menyedari keadaan Saarvindran daripada segi tahap kecergasannya.

"Saya juga berpuas hati dengan Nasir kerana dia seorang yang bekerja keras," tambahnya.


Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen