Pengendali Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Zain, tidak mahu pemain-pemainnya mengulangi kesilapan mudah dalam kunjungan ke Alor Setar bertemu Kedah pada Sabtu.

Kelekaan pertahanan ketika bertemu Perak minggu lalu menyaksikan pintu gol TFC bocor menerusi sepakan penalti, sepakan sudut serta hantaran kurang cermat pemain sendiri.

Justeru Nafuzi mengakui TFC akan dihukum Kedah jika terus melakukan kesilapan sama selain mahu pasukannya mengawal situasi bola mati dengan lebih baik.

Apatah lagi kemampuan penyerang Kedah, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche, cukup menghadirkan gerun dengan kualiti serta pengalaman mereka dalam liga tempatan.

"Bertemu pasukan yang bagus seperti Kedah, memang kami tidak boleh buat silap.

"Jadi saya harap pemain-pemain TFC lebih bersedia kali ini.

"Bukan mudah mencuri mata daripada Kedah kerana mereka juga pasti mahukan kemenangan pertama musim ini," jelas Nafuzi.

Turut dituntut meningkatkan prestasi adalah tiga tonggak import baru, Babacar Diallo, Faris Ramli dan penyerang, Dominique Da Sylva, yang bergelut dalam 'debut' minggu lalu.

Sambil membayangkan mereka masih diberi peluang, Nafuzi berkata ketiga-tiga pemain itu perlu bekerja lebih keras dan segera mendapat rentak.

"Mereka beraksi dalam tekanan tempoh hari tapi tetap cuba bagi yang terbaik kepada pasukan.

"Di sebabkan kekalahan lalu, kami sudah buat 'kerja rumah' dan harap-harap TFC lebih bersedia," tambahnya.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)