Jurulatih sementara Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Zain, enggan isu kekurangan pemain import menjejaskan persiapan TFC menghadapi Kuala Lumpur, malam esok.

Menurutnya, situasi itu bukan kali pertama dihadapi TFC selain turut dibelenggu penggantungan serta kecederaan beberapa tonggak tempatan.

Jurulatih itu meletakkan kepercayaan kepada barisan pemain Sang Penyu untuk memastikan TFC kembali di landasan kemenangan dan menewaskan skuad Warga Kota itu.

"Saya tidak boleh memikirkan tentang pemain yang tiada, sebaliknya fokus merencana strategi dengan pemain-pemain sedia ada," jelasnya.

TFC ketika ini terpaksa melupakan khidmat pemain import baru, Luis Gustavo Camilo, yang gagal mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Perkembangan itu menjerat TFC yang membuat keputusan pada saat-saat akhir untuk menukar pemain importnya dalam jendela perpindahan lalu.

Selepas 'meminjam' Marcel N'Guessan daripada TFC II, minggu lalu, Nafuzi tidak menolak kemungkinan kini giliran pertahanan Ukraine, Serhii Andrieiev, menyarung jersi TFC.

"Semuanya bergantung kepada keperluan. Jika khidmat Andrieiev diperlukan, kami akan memanfaatkan peranan TFC II sebagai pasukan 'feeder'," tambah Nafuzi.