Nafuzi puji semangat Peteh anak buah

Oleh Shaiful Shamsudin 8 Mac 2020 613
Nafuzi puji semangat Peteh anak buah
Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, memuji semangat melawan anak buahnya namun tidak mahu mendabik dada di sebalik skuad Peteh membuat kebangkitan dramatik untuk menundukkan lawan 4-3 di Stadium Darulaman malam tadi.

Ketinggalan 1-2 dalam babak pertama seterusnya 1-3 pada awal babak kedua, skuad Penyu itu bangkit untuk meraih tiga gol dibantu aksi cemerlang Dominique Da Sylva yang meledak empat gol.

"Kemenangan ini memberikan kami keyakinan pada awal musim ini menerusi cara permainan kami.

"Dalam bola sepak ini, ketika kalah semua perkara nampak bagus tetapi apabila kalah, segalanya nampak teruk.

"Apabila kalah, semua pihak akan mencari setiap kesilapan anda, itulah bola sepak, itulah sebahagian daripada hidup kami.

"Pemain menyahut cabaran ini, kami yakin bahawa kami mampu, Alhamdulillah," kata jurulatih pasukan dari Pantai Timur itu selepas perlawanan, malam tadi.



Kemenangan itu juga disifatkan jurulatih berumur 42 tahun itu sebagai satu permulaan yang baik buat pasukannya selepas tewas 1-3 kepada Perak dalam aksi pertama di laman sendiri.

"Saya tahu kemampuan Dominique walaupun tidak menjaringkan gol dalam perlawanan pertama.

"Mungkin dia masih menyesuaikan diri dengan liga ini. 

"Kami sedar bukan senang seseorang pemain untuk menyesuaikan diri terutama seorang penyerang yang memikul beban untuk menjaringkan gol. 

"Tetapi dia membuktikan bahawa dia seorang pemain yang bagus."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen