Nafuzi kekal bimbing TFC

Oleh Tengku Danish Bahri 15 Oktober 2019 1480
Nafuzi kekal bimbing TFC
Terengganu FC (TFC) melantik pengendali sementara, Mohd Nafuzi Zain, sebagai ketua jurulatih bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pelantikan itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam Kongres Tahunan PBSNT, hari ini.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata Nafuzi akan diberi mandat penuh membimbing dan membentuk barisan pemain skuad TFC sambil dibantu Subri Sulong daripada TFC IV.

Menurutnya lagi, sehingga 60 peratus muka baharu akan menyarung jersi Sang Penyu dalam rombakan pasukan dengan sasaran 80 peratus merupakan anak jati negeri itu.

"Kami lihat keberkesanan Nafuzi meningkatkan pasukan walaupun diberi masa singkat selain menaikkan pemain-pemain negeri ini.

"Perbelanjaan dapat dijimatkan hampir 30 peratus melalui rombakan ini dan TFC II turut akan dibarisi pemain muda yang kekal atau dinaikkan daripada TFC III dan IV," jelasnya.

Sementara itu Dr Ahmad Samsuri juga memaklumkan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) akan menjadi gelanggang rasmi TFC dalam saingan Liga Super.

Kerja-kerja menaik taraf permukaan padang yang dilancarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kini sudah siap sepenuhnya dan sedia untuk digunakan.

"Cuma ada penambahbaikan melibatkan bilik persalinan dan bilik VIP yang akan selesai sebelum hujung tahun ini.

"Untuk perlawanan pertama Liga Super 2020, TFC akan beraksi di SSMZA yang berkapasiti lebih besar," tambahnya.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen