Nafuzi hampir pasti bimbing TFC

Oleh Tengku Danish Bahri 14 Oktober 2019 846
Nafuzi hampir pasti bimbing TFC
Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak menafikan kesahihan senarai barisan jurulatih skuad Terengganu FC (TFC) yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Mengikut senarai tersebut, Mohd Nafuzi Zain sah dilantik ketua jurulatih TFC dibantu Subri Sulong yang masih segar dengan kejuaraan Piala Belia bersama TFC IV.

Timbalan presidennya, Hishamuddin Abdul Karim, berkata biarpun telah tersebar, senarai akhir barisan kejurulatihan hanya akan diumumkan Menteri Besar secara rasmi esok.

"Prestasi Nafuzi dilihat memuaskan, mengambil kira barisan pemain yang ada merupakan pilihan bekas jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

"Musim 2020 bakal menguji kredibiliti (Nafuzi) dan tidak mustahil beberapa pemain TFC IV dibawa masuk ke skuad utama Liga Super.

"Sebab itu kami bercadang untuk gandingkan Nafuzi dengan Subri (jurulatih TFC IV)," jelas Hishamuddin.

Penyebaran senarai itu turut menyebut tugas pengendali TFC II akan diserah kepada Roshadi Wahab sambil dibantu Sapian Wahid dan Md Noor Derus.

Badrul Afzan Razali pula kekal dengan tugas membaiki pencapaian separuh akhir Piala Presiden manakala Wan Adremy Indera Wan Adnan dilantik selaku jurulatih baru TFC IV.

"TFC akan membuat perubahan musim depan dan berhasrat memperkenalkan DNA bola sepak tersendiri," katanya lagi.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)
 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen