Jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain, memegang resipi kejayaan mentornya, Irfan Bakti Abu Salim, dalam usaha mencuri mata di Larkin apabila turun menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi terakhir Liga Super 2019 malam ini.

Nafuzi merupakan penolong kepada Irfan ketika jurulatih veteran itu memacu rekod yang baik menentang JDT sebelum mengumumkan meletak jawatan Mei lalu.

Pengendali berusia 40 tahun mengakui sempat mendapatkan pandangan Irfan untuk mengharungi perlawanan malam ini dalam usaha mencalarkan reputasi JDT sekali lagi di Larkin musim ini.

Bagaimanapun, dia berdepan tugas getir memandangkan terpaksa turun tanpa beberapa tonggak yang mengalami kecederaan seperti Ashari Shamsudin, Abdul Malik Mat Arif serta Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris.

"Saya cuba menerapkan pendekatan yang digunakan oleh Irfan. Beliau telah membentuk asas yang kukuh buat pasukan," kata Nafuzi.

Posisi pertahanan mempunyai kelompongan paling ketara setelah Amirzafran mengalami kecederaan lutut berdepan Pahang tempoh hari sementara niat Terengganu untuk mendapatkan Luis Gustavo Camilo dari Brazil terpaksa dilupakan selepas rayuan mereka ditolak oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Nafuzi menerima perkhabaran gembira selepas permohonan untuk menurunkan pemain daripada Terengganu II, Serhii Andrieiev dari Ukraine, mendapat kelulusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Ketiadaan Amirzafran memaksa kami mendapatkan pemain daripada pasukan Terengganu II dan diharap pemain yang dipilih dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan," ujarnya.