Nafuzi akui Terengganu lepas gol mudah

Oleh Tengku Danish Bahri 12 Mac 2020 192
Nafuzi akui Terengganu lepas gol mudah
Jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Zain, menganggap pasukannya lebih berhak meraih tiga mata dalam aksi dramatik dengan Selangor yang berkesudahan 3-3 malam tadi.

Malah barisan pertahanan TFC juga menurutnya beraksi lebih baik berbanding dua perlawanan sebelum ini menentang Perak dan Kedah.

Namun kealpaan ketika berdepan situasi bola mati menghukum TFC sambil Nafuzi mengakui gusar dengan jumlah gol dibolosi pasukannya dalam tiga perlawanan Liga Super.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati kerana TFC mendominasi permainan dari awal hingga wisel penamat.

"Cuma kami buat kesilapan terbesar dengan menghadiahkan tiga gol kepada Selangor menerusi tiga sepakan sudut," katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, TFC tiga kali bangkit menyamakan kedudukan di depan 17,200 penyokong sendiri.

Ketinggalan hasil tandukan Ifedayo Olusegun pada minit ke-39, Rahmat Makasuf membawa keputusan 1-1 ke bilik persalinan sebelum Selangor kembali mendahului.

Kyhril Muhymeen Zambri (m-52) menjaringkan gol kedua Selangor disusuli gol penyamaan Sanjar Shaakhmedov dari dalam kotak penalti pada minit ke-64.

Kesilapan penjaga gol, Ilham Amirullah Razali, kemudian dihukum Brendan Gan namun Lee Tuck muncul penyelamat TFC dengan sepakan penalti dalam masa kecederaan.

"Sebagai penjaga gol berpengalaman, kesilapan itu tidak sepatutnya dilakukan Ilham kerana itu adalah tangkapan rutin.

"Saya harap perlawanan malam ini (semalam) beri pengajaran kepadanya," tambah Nafuzi.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen