Berpesta gol 6-1 mengatasi T-Team di Kuala Terengganu, malam tadi, sudah cukup meyakinkan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais, bahawa mereka semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super.

Kemenangan kelima berturut-turut itu menyaksikan JDT berkelebihan 11 mata mengatasi pencabar terdekat, Kedah, dengan baki lima perlawanan.

Justeru, menurut Morais, segala-galanya kini di tangan kelab itu untuk memastikan trofi Liga Super kekal di Larkin selain memberi cabaran dalam Piala Malaysia.

“Kami hanya perlu bergantung kepada diri sendiri dan kalau boleh, JDT mahukan (kejuaraan) dalam perlawanan seterusnya di depan ribuan penyokong,” ujarnya.

Berdepan T-Team, JDT berada dalam kelas tersendiri apabila mendominasi sejak awal permainan dan mendahului 3-0 dalam babak pertama hasil jaringan Gabriel Guerra (m-22), Mohamad Ghaddar (m-40) dan S. Kunanlan (m-43).

Guerra menambah koleksi jaringan pada minit ke-58 sebelum Mohd Fadhli Shas (m-77) dan Gonzalo Cabrera (m-81) menjadikan kedudukan 6-0.

Gol sagu hati tuan rumah hanya diperoleh menerusi sepakan penalti Yannick N’Djeng pada minit ke-83.

Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, pula menyifatkan mereka harus menyalahkan diri sendiri dengan kesilapan mudah yang mengakibatkan tiga gol pertama pasukan lawan.

Katanya, kelonggaran jentera tengah juga menjadi punca T-Team dihukum keberkesanan JDT memanfaatkan peluang terhidang.

“Apa yang dirancang tidak berjalan seperti diharapkan dan JDT bermain sangat baik dengan memberi tekanan kepada kami,” tambah Rahmad.