Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, tidak senang dengan isu rasisme yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

"Kita harus lebih menghormati individu yang hadir daripada bangsa, budaya serta agama yang berbeza. Kita harus lebih bersatu dalam satu komuniti, saya seorang yang menolak isu perkauman ini," katanya.

Apabila meyebut isu perkauman, Mora menegaskan ia perlu dihentikan dengan kadar segera dan semua pihak perlu menyedari untuk sebuah permainan bola sepak, rasisme tidak wajar menjadi rencah dalam saingan liga.

Dalam masa sama, individu pernah terkesan dengan kebiadapan penyokong bola sepak selama ini ialah penjaga gol JDT dan skuad kebangsaan, Farizal Marlias.

Biarpun ia bukan sesuatu yang boleh diterjemahkan sebagai perkauman, laungan dan ejekan pihak penyokong di atas padang sebenarnya mampu membunuh motivasi pemain untuk menjulang pasukan di tahap terbaik.

"Saya sering mendapat layanan yang sama, kerap dilaung anjing ketika beraksi dan ia amat pedih tetapi apa yang boleh yang saya lakukan? Kita tidak boleh menutup sebilangan pihak yang suka mengeluarkan kata-kata sebegini," kata Farizal.