Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan membawa suara persatuan sukan yang terjejas dengan wabak covid-19 kepada badan dunia ketika atlet sedang bertarung menempah kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Buat sukan seperti badminton, 30 April akan menjadi penutup fasa kelayakan ke Tokyo.

Bagaimanapun perancangan buat mereka yang mengejar tiket ke Tokyo terjejas dengan penundaan dan pembatalan kejohanan yang menawarkan mata kelayakan Olimpik.

"Kami telah berbincang bersama pihak Majlis Olimpik Antarabangsa dalam melanjutkan lagi tempoh kelayakan ke Tokyo," Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria.

"Jika kita lihat kepada barisan atlet China, mereka berdepan masalah untuk menyertai saingan kelayakan kerana berdepan masalah penularan covid-19 ketika ini."

Atlet daripada sukan seperti terjun, renang, berbasikal trek dan terjun antaranya, turut terkena tempias covid-19.

Perancangan jangka masa pendek sukan negara tidak menggusarkan MOM susulan polemik politik yang melanda.

Mantan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, meninggalkan beberapa inisiatif yang perlu dikembangkan pada masa akan datang.

Jelmaan semula Program Podium mengembalikan fokus atlet negara untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tetapi kebimbangan adalah kepada misi masa depan seperti Sukan Komanwel dan Asia 2022 serta Sukan Olimpik Paris 2024 yang memerlukan kudrat baru untuk dipertaruhkan.

"Dengan adanya pentadbiran baharu nanti, saya rasa ada program atau polisi yang perlu dikekalkan manakala yang kurang baik, kita perbaiki. Saya rasa menteri seterusnya ini perlu lihat kepada keseluruhan rangka tindakan sebelum buat sebarang perubahan.

"Memang ada yang lahirkan keresahan, takut ada perubahan namun saya rasa kita kena bekerjasama dengan menteri baharu. Kita akan beri beliau nasihat supaya ada perkara, perlu kita kekalkan" kata Norza lagi.