Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) semalam memutuskan untuk memberi kepercayaan kepada timbalan presiden, Datuk Mohktar Ahmad, untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden FAS, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, bagi membentangkan peruntukan kewangan yang diperlukan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Mesyuarat tersebut dihadiri kesemua ahli Jawatankuasa Eksekutif FAS kecuali Azmin dan Hisham Ghouth.

Menurut Mokhtar, Selangor memerlukan peruntukan dalam anggaran RM15 juta untuk mengharungi saingan musim depan.

Sehubungan itu, beliau akan cuba mengatur pertemuan dengan Azmin dalam masa terdekat.

"Saya diberi mandat untuk berjumpa dengan presiden bagi mendapatkan keputusan," ujarnya.

Mengenai perkhabaran kemungkinan penghijrahan beberapa pemain tonggak Selangor musim ini, Mokhtar mengakui ia adalah hak pemain untuk menentukan haluan kerjaya mereka jika kontrak bersama FAS sudah berakhir.

Sementara itu, dalam satu kenyataan akhbar FAS yang ditandatangani Setiausaha Agung, Rosman Ibrahim, Jawatankuasa Eksekutif FAS menegaskan barisan exco tidak mempunyai masalah dengan Azmin dan tidak pernah menolak usaha menswastakan skuad Liga Super Selangor.

"Siapa yang nak keluar, kami akan keluarkan. Saya difahamkan kami masih mempunyai seramai 15 pemain yang mahu kekal.

"Ada antara mereka yang mempunyai kontrak selama dua tahun. Jadi, kalau nak berhenti, dia perlu tebus.

"Maka, kami perlulah cari pemain-pemain baru."