Pertahanan UiTM FC, Danish Haziq Saipul Hisham, bertekad bangkit daripada kekecewaannya untuk membantu pasukannya itu kekal dalam kancah Liga Super.

Sebelum ini, pemain berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan sehingga memaksanya berehat hampir satu musim.

Bekas pertahanan Negeri Sembilan itu, bagaimanapun, sudah bersedia untuk menggalas tugas penting bagi membalas jasa pengendalinya, Frank Bernhardt, sekali gus membantu mereka kekal dalam kancah Liga Super.

Biarpun pernah mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih dari Jerman itu dalam skuad remaja kebangsaan, Danish tetap tidak mengambil mudah untuk bekerja keras bagi merebut slot kesebelasan utama musim 2020.

"Saya sasar untuk bantu UiTM kekal dalam Liga Super sebab pasukan ini baru sahaja naik (pangkat).

"Tetapi kami tidak letakkan harapan tinggi. Yang pertama, kami perlu kekalkan (prestasi) dalam liga dan kita akan lihat (hasilnya) pada penghujung musim kelak," katanya di Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Bernhardt mahu memanfaatkan peluang ketika mengadakan kem latihan di Bangkok, Thailand, selama seminggu sebagai medan untuknya mengukuhkan pasukan berkenaan yang diwakili ramai pemain muda.

"Sesudah melengkapkan pencarian pemain, kami akan fokus kepada corak permainan sebagai persediaan menghadapi perlawanan pertama musim ini," kata jurulatih itu.



Editor: Shaiful Shamsudin