Misi selesai, kata penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun, selepas bergelar penjaring terbanyak Liga Super 2020 dengan menjaringkan 12 gol daripada 11 perlawanan musim ini.

Baginya, Anugerah Kasut Emas itu sememangnya menjadi fokus utamanya sejak awal musim ini selepas gagal meraihnya dalam dua edisi terdahulu.

"Ia benar-benar sesuatu yang saya inginkan. Saya benar-benar mahukannya," katanya kepada Nadi Arena.

"Jika anda melihat kepada statistik musim lalu, saya hanya bermain dalam 10 perlawanan dan menjaringkan 12 gol.

"Saya hanya dipisahkan dua gol dengan penjaring terbanyak.

"Juga ketika saya bersama Melaka selama separuh musim (pada 2018), nama saya masih dalam kelompok tiga teratas," katanya.

Ifedayo turut mendedahkan bahawa saingan musim ini merupakan yang paling sukar pernah dilaluinya, sekali gus menjadikan kejayaan itu cukup manis untuk dikenang.

"Saya hanya kembali tiga hari sebelum saingan bermula dan terus bermain.

"Saya tiada ruang untuk menyesuaikan diri kerana jadual yang padat.

"Setiap empat atau lima hari akan ada perlawanan, jadi ia musim yang amat mencabar," tambahnya.