Ketua Pegawai Eksekutif, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam, menafikan desas-desus kononnya penaja utama Liga Malaysia, TM Unifi, berhasrat untuk menarik diri.

Syarikat telekomunikasi tempatan, Unifi, difahamkan akan menarik diri daripada menjadi penaja utama Liga Malaysia (Liga M), musim depan walaupun telah memeterai perjanjian 10 tahun bersama MFL sejak 2018.

Kevin, bagaimanapun, tidak percaya dengan desas-desus itu, sebaliknya memberi penghargaan dengan usaha yang dilakukan pihak penaja telah membantu memberikan kestabilan kepada penganjuran saingan Liga M.

"Kami meletakkan kepercayaan kepada pihak penaja yang telah memberikan keseimbangan dalam saingan Liga M sejak musim ini. Perkara ini telah dijelaskan oleh barisan pemain, penyokong serta presiden FAM mengenai impak yang telah diberikan oleh Unifi.

"Apabila mendapat pengetahuan mengenai desas-desus ini, ia adalah satu perkara yang serius untuk perkembangan bola sepak Malaysia dan ia akan mampu memberikan kesan yang negatif. Saya berharap semua pihak bersabar dan menantikan kenyataan rasmi daripada MFL," katanya.

Unifi sebelum ini memeterai perjanjian bernilai RM480 juta dengan RM60 juta setiap tahun yang merangkumi hak penyiaran televisyen dan internet.