Penganjur Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bolasepak Malaysia (MFL), berhasrat meneruskan penganjuran Piala Malaysia 2020 biarpun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang dan Sabah diteruskan sehingga 9 November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ghani Hassan, menegaskan pihaknya tidak bercadang untuk membatalkan kejohanan bola sepak tertua di Malaysia itu dan akan meneruskannya selaras dengan kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diperoleh sebelumnya.

Ia sekali gus menafikan hasrat yang disuarakan beberapa pasukan Liga-M seperti Kuala Lumpur, Melaka United dan PJ City yang mengusulkan pembatalan Piala Malaysia tahun ini.

Undian saingan itu bakal diadakan 1 November dengan sepak mula pada 6, 7 dan 8 November depan -- kali ketiga jadual berkenaan dipinda.

"Insya-Allah Piala Malaysia akan teruskan (walaupun) indeks kes COVID-19 menunjukkan peningkatan tinggi.

"Kami akan menyesuaikan (tindakan) dengan keadaan ketika ini.

"Itu sebab itu kami akan langsungkannya mengikut jadual seperti aksi (liga) sebelum ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Norsyarafina Nasrom, di Petaling Jaya hari ini.

Ghani menegaskan risiko MFL terpaksa membayar kembali wang penajaan sekiranya Piala Malaysia dibatalkan menjadi faktor kejohanan itu tetap diteruskan.

Bagaimanapun, tiada perlawanan akan dilangsungkan di gelanggang yang tertakluk kepada PKPB dengan kemungkinan pasukan terpaksa beraksi di tempat lawan atau stadium berkecuali.

Dalam masa sama, aksi baki satu Liga Super dan Liga Perdana bakal diadakan pada Sabtu ini melibatkan melibatkan Sabah menentang UiTM FC sementara Kuala Lumpur berdepan Kuching FA di Stadium Hang Jebat, Melaka.

"Petang (akan diadakan perlawanan) Kuala Lumpur bertemu Kuching dan sebelah malamnya pula Sabah akan bertemu UiTM di stadium sama," tambahnya.

Situasi itu meletakkan Sang Tambadau pincang tanpa persiapan sejak PKPB dilaksanakan di negeri itu pada 13 Oktober.

"Kami hanya sempat berlatih sekali sahaja (sejak PKPB) iaitu pada 30 September lalu. Kami tidak dibenarkan untuk pergi berlatih di negeri lain.

"Jadi sebaik diberi pelepasan ke semenanjung kelak, kami akan cuba menjalani persiapan lebih rapi tetapi ia masih tidak efektif untuk menghadapi Piala Malaysia memandangkan kami langsung tidak berlatih selama sebulan," kata jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto.