Pengelola Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bolasepak Malaysia (MFL), menuntut semua pasukan agar membuat persediaan awal berhubung kehadiran penyokong ke stadium bermula musim depan.

Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam konteks norma baru yang akan diperkenalkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut mengambil kira acara sukan dengan kehadiran penonton selepas perkara itu dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam.

"MFL telah pun bersedia dengan SOP (prosedur operasi standard) mengenai kemasukan penonton, tiket, pintu stadium dan zon tempat duduk penonton.

"Sekiranya zon A dikesan positif COVID-19, maka penonton di zon itu sahaja yang akan buat saringan.

"Umur tertentu melibatkan peringkat tinggi dan kanak-kanak tidak dibenarkan masuk demi keselamatan semua pihak," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ghani Hassan.

Posted by Malaysian Football League on Thursday, December 10, 2020


Menurutnya lagi: "Selalunya penjarakan 1 meter diamalkan tetapi di stadium, kami akan mengenakan SOP 1.5m untuk jarak yang lebih jauh di antara satu sama lain.

"Ada stadium dengan tempat duduknya masih di atas simen, jadi saya minta semua pasukan ini bersedia untuk bertindak sekiranya penonton dibenarkan masuk mengikut peratusan tertentu pada musim akan datang," katanya.

Sementara itu, berkuat kuasa 19 November 2020, setiap pasukan diingatkan untuk menggunakan klausa baru termasuk mengenai status pemain yang tidak boleh ditamatkan kontrak akibat kecederaan dan prestasi.

Ia termasuklah kewujudan klausa 'force majure', yang pertama kali diperkenalkan dalam sejarah kontrak bola sepak Malaysia, mengambil iktibar dari peristiwa COVID-19.