Status permohonan pelesenan kelab oleh pasukan akan diketahui esok dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan jika ada pasukan terpaksa dilucutkan hak beraksi dalam Liga Super.

Segala keputusan mengenai kelayakan pasukan dalam soal pelesenan hanya boleh diputuskan Panel Badan Bebas (FIB) yang dilantik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam, beliau tidak boleh memberi jaminan bahawa kesemua pasukan mampu memenuhi kriteria yang ditetapkan memandangkan syarat makin ketat pada setiap tahun.

Cuma, beliau berharap tiada pasukan akan mengikut jejak langkah Felda United yang diturunkan pangkat hanya kerana kegagalan memenuhi beberapa kriteria kewangan.

"Kami berharap tiada sebarang masalah (mengenai pelesenan kelab) tetapi jika ada pasukan yang mempunyai masalah berkenaa, kami sudah bersedia untuk mengetengahkan langkah-langkah seterusnya.

"Ini kerana dalam pendaftaran pelesenan sejak dua musim lepas, kami berdepan masalah pendaftaran pasukan dan terdapat permohonan lesen yang terpaksa ditolak," katanya.

Pada masa sama, Kevin memaklumkan belum menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pasukan untuk menarik diri atau menjadi pasukan sokongan buat masa ini.

Malah, beberapa pasukan yang sebelum ini berdepan masalah kewangan sudah menyatakan kesediaan untuk terus kekal beraksi pada musim 2019.

"Tiada apa-apa berita rasmi mengenai pasukan yang mahu menarik diri dan tiada pasukan yang memohon untuk menubuhkan pasukan pembangunan.

"Berita ini ditimbulkan mungkin untuk memberi harapan kepada pasukan-pasukan yang tergelincir ke divisyen bawah atau terlepas mendapat promosi melalui keputusan tipis," katanya lagi.