Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menetapkan September depan sebagai tempoh untuk menyambung perjalanan kalendar bola sepak negara selepas permohonan yang dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) ditolak.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MFL merumuskan tujuh perkara yang terkandung dalam perancangan baru kalendar Liga Malaysia 2020, merancang untuk meneruskan Liga Super dan Liga Perdana dari 1 hingga 27 September depan menerusi format separuh liga sahaja.

Piala Malaysia akan berlangsung dari 17 Oktober hingga 7 November depan tanpa melibatkan saingan peringkat kumpulan sambil Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

Setiap perlawanan akan dijalankan tanpa penonton dengan semua pasukan akan memulakan sesi latihan Ogos depan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan pihak berwajib.

Namun, perancangan itu akan dikaji semula Jun nanti berdasarkan perkembangan semasa wabak Covid-19.

"Perubahan kalendar Liga-M 2020 dibuat dengan mengambil kira keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, sebagai rujukan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL dalam menyusun perjalanan liga musim 2020," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan.