Liga Bolasepak Malaysia (MFL) disaran untuk mencontohi beberapa negara Asia lain sebelum mengambil keputusan meneruskan saingan Liga Malaysia 2020 yang dijangka pada September ini.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John, berkata badan induk bola sepak Asia itu tidak mempunyai sebarang halangan terhadap cadangan MFL selaku badan pentadbir Liga Malaysia untuk merombak format liga itu, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum meneruskan saingan berkenaan.

"Sebagai contoh, Liga Korea (K-League) yang akan bermula pada 8 Mei ini, mungkin boleh menjadi permulaan baik terhadap bagaimana mereka menjalankan liga dalam situasi sebegini.

"Malah, selepas ini saya difahamkan ada liga-liga lain akan bermula dan saya rasa mungkin ini satu kesempatan terbaik buat MFL mendapatkan input bagi memastikan Liga Malaysia nanti boleh berjalan lancar," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan MFL, hari ini.

Dalam pada itu, Windsor memaklumkan MFL serta negara-negara Asia lain, boleh meneruskan saingan liga sekiranya perubahan format liga berkenaan dipersetujui semua rakan kongsi, selain pertandingan berkenaan memenuhi SOP yang ditetapkan oleh sesebuah kerajaan.

"(Bagi) Format yang disyorkan oleh MFL jelas munasabah kerana mereka telah cari jalan terbaik habiskan baki perlawanan liga dalam tempoh yang ada.

"Dalam format yang telah diubah suai ini, semua pasukan perlu bertolak ansur terutama dalam soal aksi bermain di tempat sendiri atau lawan dengan mengambil kira situasi yang luar biasa ini," jelas Windsor.

MFL pada Jumaat lepas, mengumumkan perubahan format Liga-M 2020 setelah mengambil kira keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pentadbir Liga-M itu merancang meneruskan pertandingan Liga Super dan Liga Premier secara separuh liga (half fixtures) bermula 1 Sept, dan bakal berakhir pada 27 Sept ini.

Saingan Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17 Okt hingga 7 Nov, manakala kempen Piala FA dan Piala Cabaran terpaksa dibatalkan susulan kekangan masa.

-- BERNAMA