Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M), menyarankan agar pentadbiran baru Felda United agar mempertimbangkan semula keputusan untuk menarik diri musim depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan, keputusan tergesa-gesa itu hanya merugikan industri bola sepak selain memberi kesan kepada banyak pihak.

"Felda United masih belum menghantar surat penarikan diri jadi kami menunggu (proses) itu.

"Saya minta Felda untuk memikirkan semula keputusan itu, bukan mudah (untuk bentuk pasukan) selepas 13 tahun," katanya ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, di Petaling Jaya hari ini.

Setakat ini, MFL masih belum menerima sebarang makluman daripada pengurusan kelab itu berkaitan perkara terbabit, namun badan pengelola tersebut bercadang mengadakan pertemuan bersama pihak The Fighters.

Dalam satu kenyataan semalam, skuad asuhan Nidzam Jamil itu mengumumkan penarikan diri daripada Liga-M musim depan selepas pengambil alihan penuh pentadbiran dan pengurusan Persatuan Bolasepak Felda United (FUFC) dan anak syarikatnya, The Fighters Sdn Bhd, seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat lembaga Felda.

Jika kelab yang telah berkecimpung dalam kancah Liga-M hampir 13 tahun itu masih berkeras untuk membubarkan pasukan, maka MFL terpaksa mengambil langkah seterusnya bagi mengisi kekosongan tersebut.

"Kami akan berjumpa kepimpinan Felda dan menentukan hala tuju seterusnya.

"Berkenaan jadual dan pasukan yang akan bertanding, MFL mampu menyusunnya dengan sebaik mungkin.

"Apa pun, kita tunggu (dulu) sebarang keputusan daripada Felda," katanya lagi.