MFL belum putuskan tarikh Liga-M bersambung

Oleh Bernama 13 Julai 2020 91
MFL belum putuskan tarikh Liga-M bersambung
Tarikh rasmi untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 disambung semula akan diputuskan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas menerima laporan penuh tahap kebersediaan daripada Sekretariat MFL dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL,  Datuk Ab Ghani Hassan, berkata pelbagai faktor perlu dipertimbangkan dalam menyambung kembali saingan liga yang tertangguh sejak 16 Mac lalu demi memastikan saingan lebih kompetitif dan berkualiti.

Katanya, MFL mengambil kira kebimbangan pasukan mengenai risiko kecederaan yang mungkin dihadapi pemain sekiranya pasukan tidak memiliki waktu secukupnya untuk mempersiapkan pasukan ke tahap fizikal terbaik.

"Selain itu, pasukan harus membuat persiapan rapi bagi venue yang bakal digunakan terutama daripada aspek kawalan keselamatan dan kesihatan seperti proses pembasmian kuman dan nyahcemar venue perlawanan.

“Semua pasukan turut digesa untuk menjalankan proses penyelengaraan dan baik pulih padang perlawanan bagi mengelakkan sebarang perkara yang boleh memberi kesan kepada kelancaran penganjuran perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

MFL sebelum ini merancang meneruskan kembali saingan Liga Super dan Liga Premier yang terjejas susulan pandemik COVID-19,  masing-masing pada 1 dan 2 Sept depan berdasarkan format baru yang dijalankan secara separuh liga manakala Piala Malaysia akan berlangsung pada 17 Okt sehingga 7 Nov.

Sementara itu, saingan Piala FA dan Piala Cabaran, yang juga sebahagian daripada pertandingan dalam Liga-M 2020 telah dibatalkan.

 
Posted by Malaysian Football League on Saturday, March 14, 2020


MFL juga akan mempertimbangkan kebenaran buat pasukan mengadakan siri perlawanan persahabatan sebelum kempen liga bersambung, namun tumpuan kini adalah kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam Fasa 2 latihan berpasukan.

Justeru, Ab Ghani mengingatkan setiap pasukan agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang Fasa 2 latihan berpasukan yang bermula Rabu ini bagi memastikan kelancaran usaha menyambung semula saingan liga.

"MFL berharap serta memohon supaya semua pasukan agar mengekalkan disiplin serta komitmen yang tinggi dengan mematuhi garis panduan serta mengutamakan keselamatan dan kesihatan pegawai dan pemain pasukan sepanjang tempoh Fasa 2 latihan berpasukan," katanya.

Dalam pada itu, MFL berterima kasih kepada kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementeria Belia dan Sukan (KBS) atas bantuan serta sokongan terhadap usaha MFL merealisasikan impian setiap pasukan menjalani latihan berkontak.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen